PUTRAJAYA: Angka pekerja warga asing disahkan positif setelah menjalani saringan wajib Covid-19 seluruh negara semalam, meningkat setelah mencatat penurunan sehari sebelum itu.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mendapati 20 orang positif berbanding 19 orang kelmarin dan 205 orang pada Khamis lalu.
“Kementerian itu memaklumkan sejumlah 13,091 pekerja warga asing sudah menjalani saringan wajib tersebut di seluruh negara semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Secara kumulatif, ujarnya, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 519,984 individu selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 27,107 majikan.
Daripada jumlah tersebut, ujarnya, hanya 8,578 pekerja warga asing yang disahkan positif wabak maut berkenaan manakala selebihnya iaitu seramai 511,406 orang lagi adalah negatif.
Sebanyak 1,489 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.
Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sejak 1 Disember lalu.
Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.
Ia menyasarkan lebih 500,000 pekerja asing akan disaring Perkeso menjelang tempoh akhir yang ditetapkan pada 28 Februari ini kepada semua majikan berdaftar di seluruh negara.
Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.
Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.
Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut membuat pemeriksaan dua tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.
“Kedua-duanya mematuhi peraturan dan sejak 20 April lalu, sejumlah 8,942 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE