KPDNHEP akan mohon MKN benarkan majlis perkahwinan - Utusan Malaysia

KPDNHEP akan mohon MKN benarkan majlis perkahwinan

ROSOL Wahid (berbaju hitam) bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad (berbaju batik coklat) dan Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) (berbaju ungu) ketika sesi penyerahan akujanji pematuhan SOP restoran dalam Kempen Norma Baharu COVID-19 di Restoran Syed, di Petaling Jaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membenarkan majlis perkahwinan diadakan dengan skala kecil dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Timbalan Menteri, Datuk Rosol Wahid berkata, permohonan itu perlu dibuat selepas pihaknya banyak menerima keluhan daripada pengusaha katering yang tidak dapat beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, dianggarkan lebih 20,000 pengusaha katering di seluruh negara dan sebahagian besar daripadanya terkesan kerana terpaksa berdepan dengan pembatalan majlis perkahwinan dan keraian oleh pelanggan, selain tidak menerima sebarang tempahan untuk majlis seumpamanya sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

“Sehingga kini pengusaha katering terutama yang banyak mengendalikan majlis perkahwinan, jamuan awam serta keraian terjejas pendapatan dan terpaksa menutup perniagaan sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“Walaupun majlis keraian sosial dan keramaian tidak dapat diadakan dalam tempoh PKP dan PKPB bagi memastikan usaha kerajaan memutuskan rantaian penularan Covid-19 berjaya, kementerian melihat masih ada ruang untuk pengusaha katering dibenarkan beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Justeru itu Rosol berkata, KPDNHEP akan mengemukakan permohonan kepada MKN dalam tempoh terdekat untuk memberi kebenaran dan kelonggaran supaya majlis perkahwinan dalam skala kecil dapat diadakan, sekaligus membolehkan pengusaha katering kembali beroperasi.

“Ini termasuk mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti serendah 250 orang di lokasi awam seperti dewan yang sesuai yang dapat memastikan aspek pematuhan SOP ketat seperti penjarakan sosial, pemakaian topeng pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi tangan, pemeriksaan suhu badan, pendaftaran kehadiran ke majlis dan lain-lain ketetapan terkini oleh MKN tidak diabaikan.

“Ini akan membuka peluang perniagaan kepada pengusaha katering untuk kembali menjana pendapatan. Bagaimanapun, kementerian melihat kebenaran mengadakan majlis perkahwinan di rumah masih memerlukan kajian terperinci berikutan kesukaran untuk memastikan perjalanan majlis mematuhi pelaksanaan SOP yang ketat,” katanya.

Disebabkan itu, Rosol yakin sekiranya kebenaran mengadakan majlis perkahwinan dengan had kapasiti 250 orang di dewan yang sesuai diberikan, ia bukan sahaja dapat membantu pengusaha katering untuk kembali bernafas selepas perniagaan terjejas dalam tempoh panjang, tetapi juga dapat mengelakkan masalah kehilangan pekerjaan serta kerugian dan penutupan perniagaan.

“Kementerian juga menerima jaminan daripada pengusaha katering untuk memastikan operasi perniagaan mereka mematuhi SOP yang ketat bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19, sekaligus menjayakan usaha kerajaan untuk memutuskan rantaian penularan pandemik ini seiring dengan pemulihan ekonomi dan sektor perniagaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya