Kon Yeow terima suntikan vaksin Covid-19 pagi ini - Utusan Malaysia

Kon Yeow terima suntikan vaksin Covid-19 pagi ini

CHOW KON YEOW menunjukkan tanda isyarat bagus selepas selesai menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini pukul 10.25 pagi ini sekali gus sebagai simbolik kepada pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat Pulau Pinang.

Kon Yeow mengetuai seramai 12 individu menerima suntikan vaksin tersebut termasuk dua Timbalannya, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dan Dr. P. Ramasamy.

Penerima lain ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib; Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan serta enam petugas kesihatan.

Berkongsi pengalamannya, Kon Yeow menyifatkan suntikan yang diterima berjalan lancar dan sempurna malah tidak mengalami sebarang perubahan kesihatan atau berasa sakit selepas 15 minit.

“Jadi saya harap pengalaman ini dapat meyakinkan seluruh penduduk Pulau Pinang untuk bersedia menerima suntikan vaksin ini kelak dan segera mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera,” katanya kepada pemberita selepas program suntikan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu Kon Yeow berkata, beliau berharap program suntikan vaksin fasa pertama melibatkan seramai 31,000 petugas barisan hadapan di Pulau Pinang itu dapat disempurnakan dan berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan.

Ujarnya, negeri ini akan menerima lima lagi penghantaran vaksin dalam masa terdekat sebagai dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.

Sementara itu, Dr. Asmayani berkata, seramai 318 petugas barisan hadapan di negeri ini sudah menerima suntikan vaksin itu minggu lalu termasuk 54 pemvaksin.

Ujarnya, bagi fasa pertama pemberian vaksin itu, tumpuan diberikan kepada petugas barisan hadapan terdiri daripada kumpulan perubatan dan bukan perubatan dalam memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan lancar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya