GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow menjadi individu pertama di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid-19, Ahad ini.
Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataan hari ini memaklumkan, serentak itu juga, Kon Yeow melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi negeri ini yang bermula hari berkenaan.
“Beliau diberikan suntikan dos vaksin pertama sebagai simbolik bermulanya program itu di negeri ini dan disusuli Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
“Seterusnya, Timbalan Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy; Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Asmayani Khalib dan Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd. Manan (akan menerima vaksin) pada sesi sama,” kata kenyataan itu.
Jabatan Kesihatan negeri sebelum ini memaklumkan program berkenaan bakal dipecahkan kepada tiga fasa membabitkan tempoh pelaksanaan selama setahun.
Sasaran suntikan itu meliputi 70 peratus iaitu 1.3 juta penduduk Pulau Pinang bagi membolehkan imuniti kelompok dibentuk.
Sehingga kini, sebanyak 15 lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) telah dikenal pasti membabitkan tiga dewan bagi setiap daerah di negeri ini.
Terdahulu, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech tiba di negeri ini pada Ahad lalu membabitkan sebanyak 16,000 dos. – UTUSAN ONLINE