SEREMBAN: Sebanyak 1,338 kes baharu positif Covid-19 daripada 1,392 kes yang dicatatkan di Negeri Sembilan, hari ini berpunca dari Kluster Industri Sungai Gadut.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri, S. Veerapan berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes bagi kluster yang diumumkan 22 Februari lalu itu adalah sebanyak 1,432 kes.
Katanya, daripada jumlah berkenaan terdapat pecahan kes kluster yang sama direkodkan di daerah Seremban iaitu sebanyak 1,329 kes diikuti Rembau (5 kes), Tampin (3 kes) dan satu kes di Port Dickson.
“Sehingga pukul 12.00 tengah hari, terdapat 1,392 kes baru positif Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 15,540 kes.
“Daripada jumlah kumulatif tersebut, 13,518 kes sembuh dan discaj, 1,992 kes yang masih menerima rawatan di wad dan 30 kes meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Facebooknya memaklumkan, Kluster Industri Sungai melibatkan sebuah kilang pembuatan produk kayu yang terletak di Kawasan Perindustrian Sungai Gadut, Seremban.
Menurutnya, sehingga kini, jumlah keseluruhan kes adalah sebanyak 1,432 kes iaitu melibatkan 318 warganegara dan 1,114 bukan warganegara.
“Kluster ini telah dikenal pasti pada 22 Februari. Kilang tersebut telah pun ditutup pada 21 Februari. Jumlah pekerja yang tinggal di asrama adalah seramai 1,500 orang bukan warganegara.
“Asrama pekerja ini terletak di dalam kawasan kilang. Majoriti kes telah dan sedang dimasukkan ke MAEPS. Kes yang melibatkan warganegara, ada yang dimasukkan ke hospital, MAEPS dan ada yang dirawat di rumah,” katanya.
Menurutnya, keadaan di asrama kilang berkenaan disifatkan sangat tidak memuaskan dan telah diambil tindakan oleh Jabatan Tenaga Kerja, Negeri Sembilan.
“Isu penginapan pekerja asing wajib diuruskan sebaik mungkin untuk membendung penularan jangkitan Covid-19 dalam negara,” katanya.- UTUSAN ONLINE