JKOTA BHARU: Polis menahan pasangan suami isteri Orang Asli suku kaum Temiar yang melarikan diri dari Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai selepas anak mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19, semalam.
Kedua-dua pasangan itu dikesan kira-kira pukul 5.30 petang ketika berada di sebuah pondok di Kampung Sungai Sam, Kuala Krai dan dipercayai berjalan kaki sejauh kira-kira 40 kilometer dari HSIP.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, polis ke lokasi itu selepas menerima maklumat melalui panggilan telefon daripada seorang individu dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
“Pasangan terbabit memberi kerjasama dengan polis dan dibawa ke HSIP untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
“Mereka dikuarantin selama 14 hari sementara menunggu keputusan ujian saringan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Shafien, polis turut menjalankan siasatan terhadap pasangan terbabit mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit/ 270 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri.
Akhbar ini hari ini melaporkan, polis menjejaki pasangan suami isteri Orang Asli yang dipercayai positif Covid-19 selepas mereka melarikan diri dari HSIP, kelmarin.
Pasangan terbabit dari Kampung Polis Tohoi, Gua Musang disedari melarikan diri meninggalkan anak mereka berusia 25 hari di hospital berkenaan selepas bayi itu disahkan positif Covid-19.
Kejadian disedari berlaku kira-kira pukul 9.30 malam selepas pihak hospital menyedari ibu bayi yang bernama Elina Aling,33, tiada di wad. – UTUSAN ONLINE