Ingkar SOP naik lagi kepada 509 individu - Utusan Malaysia

Ingkar SOP naik lagi kepada 509 individu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam bertambah untuk hari kedua berturut-turut.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 509 individu ditahan berbanding 432 individu diberkas kelmarin dan hanya 326 yang dicekup pada Khamis lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 472 dikompaun manakala 37 lagi direman dengan kes paling tinggi ialah aktiviti pusat hiburan sebanyak 114,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut beliau, ia diikuti tiada pelitup muka (94), gagal disedia alat rekod butiran diri (92), tiada jarak fizikal (91), rentas kawasan tanpa izin (58), premis beroperasi lebih masa (44) dan lain-lain (16).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 67,031 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,052 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 13,736 anggota itu semalam memantau 6,055 restoran, 4,556 pasar raya, 3,923 bank, 3,558 rumah ibadah, 2,264 penjaja, 2,000 pasar awam dan 1,549 kilang.

Turut dipantau ialah 1,506 tempat riadah serta 757 pejabat kerajaan selain 1,296 terminal pengangkutan darat, 277 terminal pengangkutan air dan 99 terminal pengangkutan udara.

Tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan 13 lagi yang lain diusir semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan wabak Covid-19.

“Sebanyak tiga kenderaan darat dan sebuah bot dirampas selain 117 bot atau kapal dicurigai dikesan berdekatan perairan negara menerusi tujuh aktiviti penglihatan,” tegas Ismail Sabri.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 467 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 47 dilaksanakan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 106 operasi sanitasi awam telah dilaksanakan di negara ini semalam meliputi 38 zon merah, tujuh zon jingga, 10 zon kuning dan tiga zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 416 anggota bomba selain 204 anggota pihak berkuasa tempatan dan 33 lagi dari agensi lain dengan penggunaan 96 buah jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 814 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 7,625 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 77 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 815 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 124,485 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas dikuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 527 peruncit, 159 pemborong dan 31 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 1,681 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan empat premis diberikan nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya