PUTRAJAYA: Langkah vaksinasi warga emas pada fasa kedua Pelan Imunisasi Kebangsaan Covid-19 adalah amat perlu kerana golongan itu yang paling mudah diancam risiko kematian.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, ia juga berdasarkan kajian mendapati lebih dua pertiga kes maut wabak itu melibatkan warga emas.
Justeru, katanya, kerajaan memberi keutamaan kepada penduduk berusia 65 tahun ke atas termasuk staf dan penghuni pusat warga emas untuk imunisasi awal selepas petugas barisan hadapan.
“Kerajaan tidak boleh bersikap tunggu dan lihat kerana risiko penularan di institusi penjagaan warga emas mudah merebak pantas malah sukar dikawal sebab faktor persekitaran,” katanya.
ketika merasmikan Forum Nasional Pelan Vaksinasi untuk Staf dan Penghuni Pusat Jagaan Berkediaman Warga Emas diadakan secara maya, di sini hari ini.
Acara julung kali itu dianjurkan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama dari Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Mengulas lanjut, Ahmad Amzad berkata, bebanan dipikul pengendali pusat warga emas jika ada jangkitan adalah lebih teruk akibat kekurangan sumber bahkan tidak mampu bertahan lama.
“Petugas kesihatan dan keselamatan yang gigih berjuang melawan Covid-19 mungkin tidak akan dapat bertahan apabila terus-menerus ‘dihujani’ dengan banyak kes dan kluster baharu.
“Vaksinasi ke atas mereka wajar dibuat awal sebagai usaha kurang risiko penularan kerana premis tersebut tertutup dan sukar kawal pematuhan prosedur operasi standard,” tegasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa program imunisasi nasional untuk warga emas selain kelompok orang kurang upaya seluruh negara akan berlangsung dari April sehingga Ogos depan.
Kementerian itu ujarnya, turut menghargai inisiatif forum tersebut bagi meningkatkan kesedaran kepada pemegang taruh berkongsi maklumat dalam menjayakan pelan imunisasi kerajaan.
“Saya percaya tiada yang mustahil jika semua pihak berkepentingan berganding bahu dan menggembleng tenaga kerana kerajaan adalah rakan dalam usaha murni ini,” kata Ahmad Amzad.
Malaysia akan mula melaksanakan program imunisasi pada 26 Februari ini dengan sasaran 80 peratus penduduknya divaksin secara percuma melalui tiga fasa sehingga Februari tahun depan. – UTUSAN ONLINE