PETALING JAYA: Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) hampir gulung tikar akibat tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Nordin Abdul Malek berkata, institusi tersebut merayu supaya kerajaan membenarkan ILKS menjalankan operasi latihan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
“Sektor ini telah mengalami kerugian yang besar dan hampir gulung tikar dalam masa terdekat ini.
“Selepas PKP dikuat kuasa, pendapatan ILKS jatuh sehingga 80 peratus kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa dan kemasukan pelatih baru juga tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Nordin, sehingga tahun lepas, hanya 350 dari 800 buah ILKS yang benar-benar masih aktif dan kini kesemua institusi tersebut menghadapi risiko penutupan sepenuhnya.
Katanya, kerajaan perlu memberi perhatian serius terhadap keperluan ILKS meneruskan operasi sepanjang tempoh PKP kerana peranan ILKS adalah sangat penting sebagai pelengkap kepada sistem latihan negara terutama dalam menjayakan tenaga kerja industri dan majikan di Malaysia.
“Walaupun kerajaan membenarkan pembelajaran melalui online dijalankan namun kebanyakan pelajar yang cenderung bidang kemahiran atau hands on tidak menggemari pembelajaran teori, lebih-lebih lagi secara online,” katanya.
Katanya, selain memberi kesan kepada lebih 15,000 tenaga kerja di ILKS, penutupan ILKS dan gangguan operasi yang sedang berlaku ketika ini akan mengakibatkan bekalan tenaga kerja berkemahiran tempatan kepada sektor industri dan majikan akan menghadapi masalah yang besar.
“Contohnya sektor perladangan dan pertanian, kekangang peraturan PKP yang tidak membenarkan latihan dilakukan menyebabkan sektor kritikal semakin meruncing dari segi tenaga kerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE