Dahulu pengusaha bas, kini jual nasi lemak RM1 - Utusan Malaysia

Dahulu pengusaha bas, kini jual nasi lemak RM1

KAMARIAH Abdullah yang dahulunya pengusaha van dan bas sekolah di Kijal, Kemaman, Terengganu kini membuka gerai menjual nasi lemak RM1.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sepanjang 25 tahun memandu van dan bas sekolah di Teluk Kalong, Kijal di sini, Kamariah Abdullah, 59, tidak pernah terfikir untuk bekerja lain, namun, impak pandemik Covid-19 menyebabkan ibu kepada tujuh anak itu terpaksa beralih arah menjual nasi lemak RM1.

Kamariah berkata, langkah itu terpaksa diambil bagi menampung perbelanjaan harian keluarga berikutan keadaan kesihatan suaminya, Zakaria Mamat, 66, yang merosot ekoran penyakit darah tinggi dan kencing manis di samping perlu menyara seorang anak yang menuntut di sekolah tahfiz.

Katanya, dia mula berniaga nasi lemak sejak November tahun lalu dengan peringkat awal menjual hidangan berharga RM3 berserta pilihan lauk ayam dan ikan di gerai yang beroperasi kira-kira 100 meter dari Kolej Universiti TATI.

“Tetapi jualan tidak seberapa dan selepas beberapa bulan berniaga, saya mengambil keputusan untuk menjual nasi lemak berharga RM1 dengan lauk telur, ikan bilis dan timun.

“Alhamdulillah, perniagaan nasi lemak RM1 lebih mendapat sambutan dan biasanya antara 100 hingga 200 bungkus laris dalam sehari,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di gerainya hari ini.

Menurut Kamariah, walaupun keuntungan yang diraih tidak selumayan semasa mengusahakan perkhidmatan van dan bas sekolah, namun dia tetap bersyukur dengan limpahan rezeki tersebut.

Nenek kepada 20 cucu itu berkata, seawal pukul 6.30 pagi gerainya sudah diserbu pelanggan di samping turut menawarkan khidmat penghantaran di sekitar Kijal dan Chukai jika ada pelanggan yang meminta menghantar makanan ke rumah.

“Walaupun jauh saya tetap akan pergi hantar dengan menggunakan van sekolah dan adakalanya tanpa mengambil caj penghantaran.

“Anak-anak ada memberi duit belanja, tetapi saya dan suami tidak mahu mengharapkan mereka kerana masing-masing sudah mempunyai keluarga,” katanya.

Sementara itu, Kamariah tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana buat pertama kali gagal menyambung cukai jalan dan insurans bas miliknya yang berharga hampir RM2,000 kerana kesempitan duit.

“Saya sudah berhabis RM2,000 pada awal Januari lalu untuk ujian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) kerana perlu menukar tayar dan servis minyak hitam sebagai persediaan sekolah dibuka, jadi untuk perbelanjaan cukai jalan terpaksa ditangguh dahulu,” katanya.

Nasi lemak RM1 Kamariah
Lokasi : Taman Sri Kalongan, Teluk Kalong, Kemaman
Operasi : 6.30 pagi hingga 11 pagi
Perkhidmatan penghantaran sekitar Kijal dan Chukai
Hubungi : 0199644611

– UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya