ATM rangka pelan tindakan pengurusan vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

ATM rangka pelan tindakan pengurusan vaksin Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merangka pelan tindakan pengurusan dan pengendalian vaksin yang bakal diterima bagi memastikan keseluruhan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan teratur, mencapai matlamat serta mengurangkan sebarang pembaziran penggunaannya.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ATM berperanan melalui Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dari segi koordinasi bantuan kawalan pergerakan dan logistik seperti bantuan iring kawal pergerakan vaksin dari Pusat Simpanan Vaksin (PSV) ke lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Menurut beliau, ATM ditempatkan bersama urusetia di peringkat pusat dan negeri bagi membantu Kementerian Kesihatan dan CITF merancang pelaksanaan program imunisasi itu terutama koordinasi bantuan logistik di PSV dan PPV.

“Peranan ATM dari segi bantuan logistik adalah termasuk penstoran atau penyimpanan, penghantaran dan juga pengagihan di samping kawalan keselamatan di setiap fasa pelaksanaan program.

“Pelan tindakan dan pengurusan proses pengagihan serta penerimaan vaksin ini akan diselia secara berperingkat oleh Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Affendi berkata, ATM juga merangka pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 peringkat ATM kepada warganya sebagai keutamaan penerima vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan.

Katanya, ini berdasarkan ruang lingkup penugasan mereka yang berisiko dijangkiti wabak sekali gus dapat mengekalkan keupayaan serta kesiapsiagaan ATM bagi memastikan kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara seterusnya mencapai objektif ‘herd immunity’.

“Pelan tindakan ini meliputi aspek strategi pemilihan kumpulan yang layak dengan mengambil kira tahap risiko kebolehjangkitan berdasarkan bidang penugasan serta kawasan berisiko di mana mereka ditempatkan.

“Ini termasuk koordinasi sumber manusia dan latihan anggota kesihatan ATM bagi memastikan proses pengurusan dan pemberian vaksin ini dapat dilaksanakan dengan efisien,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peranan dan penglibatan aktif ATM dalam program imunisasi itu bakal membantu memperlahan penularan wabak Covid-19 bukan sahaja dalam kalangan warga petugas barisan hadapan malah seluruh masyarakat.

Jelasnya, ATM sentiasa komited dengan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan bagi membantu kerajaan memerangi wabak Covid-19.

Pada masa sama, katanya, kerjasama setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dalam menjayakan program imunisasi itu seterusnya dapat membendung keseluruhan penularan wabak berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya