Aminuddin bersedia terima awal suntikan vaksin - Utusan Malaysia

Aminuddin bersedia terima awal suntikan vaksin

AMINUDDIN Harun (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, Port Dickson di Wisma Negeri, Seremban hari ini.-UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun bersedia menjadi antara individu terawal di Negeri Sembilani menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech yang dijangka tiba di negeri ini dalam masa terdekat.

Aminuddin berkata, beliau telah mendaftar untuk menerima suntikan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, petugas barisan hadapan menjadi kumpulan pertama dan diberikan keutamaan menerima vaksin berkenaan.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengambil keputusan memberi laluan kepada petugas barisan hadapan sebagai kumpulan pertama yang menerima vaksin.

“Saya bersedia menerima suntikan dalam kumpulan pertama, bagaimanapun keadaan itu belum ditentukan lagi. Saya sudah mendaftarkan diri untuk menerima suntikan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Dewan Legasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah, Port Dickson di Wisma Negeri, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concept, Datuk Lee Tian Hock, dan Pengetua SMK Tanah Merah, Razali Md. Taib

Sementara itu, ditanya sama ada ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain di negeri ini antara penerima awal vaksin di negeri ini, Aminuddin memaklumkan, ia juga masih belum ditentukan.

“Ada dalam kalangan ahli Parlimen yang menarik diri daripada mendaftar awal kerana mereka ingin melihat keberkesanan vaksin berkenaan terlebih dahulu.

“Mereka menawarkan diri menerima suntikan namun saya dimaklumkan ada yang menarik diri mungkin mereka mahu melihat ia berjalan lancar dahulu baru menerima suntikan. Bagi saya sendiri, saya kena menerima suntikan awal,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua rakyat di negeri ini untuk menerima suntikan vaksin berkenaan kerana ia keperluan untuk menyekat penularan pandemik Covid-19.

“Suntikan vaksin ini penting sebagai langkah menyekat dan memutuskan penularan wabak Covid-19 dan saya menggalakkan rakyat di negeri ini menerimanya,” katanya.

Sementara itu, Dewan Legasi tersebut dibina oleh pemaju perumahan, Matrix Concepts dengan kos RM1.2 juta. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya