PUTRAJAYA: Keupayaan saringan Covid-19 yang dijalankan Kementerian Kesihatan berada pada tahap tertinggi dengan merekodkan sejumlah 6,414,565 ujian dilaksanakan sehingga 5 Februari lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ujian tersebut melibatkan kedua-dua jenis saringan iaitu Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen.
Beliau berkata, bagi RT-PCR sepanjang tahun lalu sahaja, sejumlah 3,332,554 ujian dilaksanakan dengan empat peratus daripadanya dikesan positif.
Namun, katanya, jumlah pelaksanaan ujian itu meningkat tahun ini berikutan arahan kepada majikan untuk melaksanakan ujian saringan kepada pekerja mereka dengan merekodkan 1,188,284 ujian iaitu satu jumlah yang tinggi hanya dalam tempoh satu bulan lima hari pertama tahun ini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 9.96 peratus dikesan positif Covid-19.
“Jumlah ujian RTK Antigen pula mencatatkan 1,893,727 ujian sehingga tempoh yang sama dengan 2.79 peratus merekodkan kes positif.
“Jumlah saringan ini menunjukkan bahawa kerajaan mengambil perhatian tinggi terhadap ujian-ujian ini supaya kita dapat cepat mengesan, cepat buat ujian dan diasingkan sama ada mereka bergejala atau tidak,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Komuniti Kota Jaya, Kota Tinggi, Johor Bahru, hari ini.
Penjelasan jumlah ujian saringan itu sebagai respon cadangan beberapa pihak mengenai pelaksanaan saringan besar-besaran di seluruh negara.
Menurut Adham, sekiranya pesakit didapati bergejala, mereka diletakkan di hospital untuk rawatan manakala yang tidak bergejala dipantau Covid-19 Assessment Centre (CAC) sama ada mereka dibenarkan duduk di rumah untuk isolasi atau mereka perlu ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Adham turut memberitahu, perintah kepada majikan untuk melaksanakan ujian saringan bersasar kepada para pekerja mereka telah menyebabkan berlaku peningkatan kes sedikit.
Bagaimanapun, pelaksanaan perintah itu adalah langkah baik bagi membolehkan kes positif dapat dikesan lebih cepat, diasingkan dan dirawat.
“Kadar kesembuhan Covid-19 pula meningkat baik dan saya yakin segala bentuk pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya. – UTUSAN ONLINME