PUTRAJAYA: Malaysia masih merekodkan kes sembuh melebihi 4,000 kes melangkaui kes positif iaitu 4,782 kes dengan 10 kluster dan lapan kematian.
Bagi kes positif pula, ia menunjukkan sejak beberapa hari lalu merekodkan kes di bawah 3,000 kes iaitu 2,461 kes, begitu juga dengan kes aktif apabila turut mengalami penurunan kepada 34,468 kes berbanding semalam, 36,797 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 207 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 91 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Bagi kes positif, semua negeri merekodkan kes yang rendah di bawah 300 kes tetapi Selangor kembali merekodkan kes melebihi 1,000 kes iaitu 1,001 kes.
“Kes kematian pula, semua kes melibatkan warga tempatan dengan empat kes di Sarawak, manakala Selangor, Sabah, Perak, dan Kelantan, masing-masing satu kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE