PUTRAJAYA: Seramai 401,105 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 3,310 pusat peperiksaan seluruh negara bermula Isnin ini hingga 25 Mac ini.
Menurut kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 48,014 petugas peperiksaan dilantik.
Lembaga Peperiksaan turut mengingatkan semua calon agar merujuk jadual waktu peperiksaan untuk mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa,kod dan kertas peperiksaan dan arahan yang perlu dipatuhi semasa
peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my.
“Calon juga diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan,” katanya hari ini.
Semua calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusandan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE