PUTRAJAYA: Malaysia terus mencatatkan perkembangan yang baik apabila merekodkan sebanyak 3,251 kes sembuh sekali gus mengatasi 2,437 kes positif.
Sebanyak sembilan kematian dan sembilan kluster manakala kes aktif, yang mengalami penurunan kes sejak beberapa hari lalu, ia merekodkan sebanyak 26,205 kes berbanding semalam, 27,028 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 202 kes positif yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 93 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selangor masih mengekalkan negeri yang merekodkan kes tertinggi iaitu 914 kes diikuti Johor, 340 kes; Kuala Lumpur, 337 kes; Perak, 287 kes; Sarawak, 171 kes; Sabah, 134 kes dan Pulau Pinang, 105 kes.
“Baki negeri lain pula merekodkan kes dua angka iaitu Negeri Sembilan, 65 kes; Kelantan, 33 kes; Kedah, 13 kes; Terengganu, 12 kes; Pahang, 11 kes; Melaka, 10 kes manakala Putrajaya, tiga kes; Labuan, dua kes dan Perlis, sifar kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sembilan kematian melibatkan tiga kes di Selangor, dua di Sarawak manakala Melaka, Kelantan, Perak dan Johor, masing-masing satu kes yang merekodkan lapan kes melibatkan warga tempatan dan satu warga asing.
“Lima lelaki dan empat wanita termasuk warga asing berusia antara 57 hingga 102 tahun dan hanya wanita warga asing berusia 102 tahun tidak mempunyai latar belakang penyakit.
“Lapan lagi melibatkan penyakit seperti darah tinggi, kencing manis, dislipidemia, obesiti, buah pinggang kronik, jantung, Osteoporosis dan dislipidemia,” katanya.
Mengulas mengenai sembilan kluster, beliau berkata, semuanya melibatkan kluster berkaitan tempat kerja iaitu empat di Johor, tiga di Selangor manakala Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, masing-masing satu kluster.
Empat kluster di Johor katanya, tiga di Johor bahru iaitu KLuster Jalan Timah Tiga, sebanyak 31 kes dari 255 individu serta Kluster Jalan Tanjung Empat, sebanyak 28 kes dari 66 individu dan Kluster Jalan Desa Tropika, sebanyak 10 kes dari 21 individu manakala Kluster Batu Empat di Batu Pahat, sebanyak lapan kes dari 55 individu.
“Selangor pula, Kluster Perusahaan Jalan Bukit di Hulu Langat, sebanyak 262 kes dari 699 individu serta Kluster Industri Waja di Kuala Langat, sebanyak 45 kes dari 248 individu dan Kluster Jalan Selisik melibatkan Petaling dan Kuala Selangor, sebanyak 17 kes dari 32 individu.
“Dua kluster lain adalah Kluster Tapak Bina Bukit Kiara di Kepong, Kuala Lumpur, sebanyak 181 kes dari 250 individu manakala Kluster Jalan Sungai Baong di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, sebanyak 40 kes dari 93 individu,” katanya. – UTUSAN ONLINE