PUTRAJAYA: Sejumlah 18 kawasan taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah di Rompin, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kecuali Bandar Satelit, PKPD terbaharu itu melibatkan penduduk seramai 9,805 orang daripada 2,178 buah rumah.
“Kementerian Kesihatan mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak membabitkan komuniti dengan 13 kes direkodkan dalam masa 10 hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ismail Sabri, kawasan perumahan tersebut ialah Desa Bidara, Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Desa Teratai, Desa Melor, Desa Mawar 1, Desa Mawar 2, Desa Jati 1 dan Desa Jati 2.
Selain itu Desa Anggerik, Desa Kenanga, Desa Tanjung, Desa Dahlia 1, Desa Dahlia 2, Desa Cempaka, Desa Alamanda, Pinggir Pelangi dan Desa Semarak.
Beliau berkata,, sebanyak 13 kes positif Covid-19 tdirekokan dalam Kluster Hikmah melibatkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga di taman itu.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD,” katanya.
Ia berlangsung selama 14 hari sehingga 22 Februari ini dan pelaksanaan itu, ujarnya, bagi memudahkan kementerian membuat pengesahan awal melalui saringan secara bersasar.
Langkah tersebut, kata beliau, adalah perlu terutama ke atas para penduduk di semua lokaliti berkenaan dan untuk mengawal penularan wabak dalam komuniti di kawasan itu. – UTUSAN ONLINE