KUALA TERENGGANU: Kira-kira 15,000 petugas barisan hadapan di negeri ini menerima vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, bermula Jumaat ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mereka termasuk kakitangan Jabatan Kesihatan negeri, polis, pasukan petugas khas Covid-19 dan kalangan wakil rakyat.
“Saya dimaklumkan vaksin sampai ke Terengganu esok.
“Untuk fasa pertama, kira-kira 15,000 barisan hadapan bakal menerima suntikan bermula Jumaat ini di Kuala Terengganu dan selepas itu jadual akan disusun untuk penerima di daerah-daerah lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Menurut Ahmad Samsuri, beliau menjadi individu pertama di negeri ini yang menerima suntikan itu.
Katanya, program vaksinasi di Terengganu sepatutnya bermula pada 28 Februari ini tetapi dipercepat selaras dengan keputusan kerajaan mengawal Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan hari ini.
Ahad lalu, kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech selamat tiba di Advanced Cargo Centre (ACC), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10 pagi. – UTUSAN ONLINE