PUTRAJAYA: Sejumlah 10 buah taman perumahan di sekitar Jalan Telok Ira, Temerloh, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai esok.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu susulan Kementerian Kesihatan mengesahkan peningkatan kes positif Covid-19 secara mendadak.
“Setakat ini, sebanyak 72 kes wabak itu telah dilaporkan dengan melibatkan penduduk yang tinggal di kawasan perumahan tersebut,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini.
Justeru, katanya, setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD bermula pada esok hingga 6 Mac depan.
PKPD di lokaliti itu meliputi Taman Desa Bangau, Taman Seberang Damai, Taman Kenari, Taman Seberang Temerloh, Taman Kelisa, Desa Bangau serta Taman Jaya 2, 3, 4 dan 7.
Pelaksanaan PKPD itu ujar beliau, untuk memudahkan Kementerian Kesihatan melakukan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk dan mengawal jangkitan dalam komuniti.
Prosedur operasi standard di lokaliti berkenaan sama seperti PKPD di tempat yang lain dan penduduk kata beliau, boleh merujuk laman sesawang rasmi Majlis Keselamatan Negara.
Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa PKPD di Bandar Raub Perdana, Raub, Pahang ditamatkan lebih awal hari ini berbanding jadual asalnya pada 25 Februari.
“Sehingga kini, kementerian itu sudah melaksanakan 287 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif hanya sebanyak tiga kes positif Covid-19 yang direkodkan,” katanya.
Malahan, pihak kementerian tersebut mengesahkan situasi penularan wabak di lokaliti ini terkawal dan semua kontak rapat telah dikenal pasti sebelum disampel serta diasingkan.
Sehubungan itu beliau menambah, setelah dibuat penilaian risiko dengan pelbagai agensi, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di sini lima hari lebih awal daripada dijadualkan.
Bandar tersebut mula dikenakan PKPD pada 12 Februari lalu setelah 75 orang disahkan sebagai kontak rapat kepada beberapa kes positif pandemik berkenaan sebelum itu. – UTUSAN ONLINE