Tiga beranak terkandas ketika mahu lawat keluarga - Utusan Malaysia

Tiga beranak terkandas ketika mahu lawat keluarga

MUHAMAD Khairil Karim (kiri) menjamah makanan sambil Hamidah Kadir memangku Mohammad Rizki di sebuah pondok berdekatan tempat letak kereta di Jalan Ibrahim, Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sepasang suami isteri tidak menyangka kedatangan mereka ke bandar raya ini yang bertujuan menziarahi keluarga bertukar menjadi episod duka apabila mereka terkandas disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pertengahan bulan ini.

Lebih malang, Muhamad Khairil Karim, 38, dan isterinya, Hamidah Kadir, 36, yang turut membawa bayi mereka, Mohammad Rizki berusia enam bulan kehilangan dompet dan barangan penting ketika menaiki motosikal baru-baru ini.

Muhamad Khairil berkata, mereka sekeluarga menaiki bas ke Johor Bahru pada 12 Januari lalu bertujuan menziarahi keluarga sebelum merancang melawat keluarga mentua di Simpang Renggam, Kluang.

“Sesudah menaiki bas dan tiba di Larkin Sentral pada pagi keesokan harinya, barulah saya tahu PKP dilaksanakan. Saya memang sudah lama merancang mahu pulang ke kampung bertemu keluarga.

“Oleh kerana sudah tidak boleh merentas negeri, maka saya terpaksa menumpang sementara di rumah abang angkat di Kampung Melayu Majidee, di sini. Perancangan berjumpa keluarga mentua juga punah kerana tidak boleh merentas daerah,” katanya ketika ditemui semasa mengambil makanan di Dataran Tun Sri Lanang, di sini.

Ujar Muhamad Khairil, mereka sekeluarga kini lega apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menghantar mereka pulang ke rumah sewa di Kampung Hujung Permatang, Kuala Selangor, Selangor.

Katanya, setakat ini, sudah dua kali dia mengambil makanan yang disediakan di kawasan khas disediakan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di situ bagi golongan bukan gelandangan sepertinya.

“Ketika berada di kawasan ini baru-baru ini, saya ditegur petugas di kawasan itu untuk membuat permohonan bagi menerima bantuan makanan. Ini adalah langkah kanan buat saya sekali gus menjimatkan duit poket serta dapat pulang ke Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JKM negeri, Mohamad Hapil berkata, keluarga itu adalah yang kesembilan dibantu dan dihantar pulang ke tempat tinggal masing-masing setelah terkandas disebabkan PKP.

“Dalam isu keluarga ini mereka mahu pulang semula ke Selangor dan pihak kami akan menguruskan proses penghantaran pulang mereka. Paling awal hari ini bagi menyelamatkan keluarga itu terutama bayi mereka yang masih kecil.

“Kita sudah selamatkan lapan keluarga dengan menghantar pulang mereka ke destinasi masing-masing sejak PKP kedua dilaksanakan termasuk di luar Johor seperti ke Terengganu, Melaka dan Pahang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN