Tidak endah kes positif meningkat - Utusan Malaysia

Tidak endah kes positif meningkat

ENAM warga asing sedang menunggu majikan untuk mengambil mereka di Taman Tasik Shah Alam, Shah Alam, Selangor hari ini- UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Walaupun Selangor mencatatkan kes tinggi positif Covid-19, angka itu dilihat tidak menimbulkan kerisauan masyarakat di negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, masih terdapat individu yang tidak duduk di rumah walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua dilaksanakan sejak minggu lalu.

Di Taman Tasik Shah Alam, Seksyen 14, di sini misalnya, terdapat beberapa pasangan dan kumpulan dilihat bersiar-siar kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Lebih membimbangkan, terdapat individu melepak secara berkumpulan tanpa melakukan penjarakan fizikal.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Shahril,30, berkata, dia baru membeli barang di sebuah pasar raya dan singgah sebentar di tasik tersebut untuk mengambil barang.

“Saya tidak bekerja hari ini dan berjanji dengan salah seorang rakan untuk mengambil barang darinya.

“Malah, saya tiada niat untuk lepak lama di kawasan ini dan akan pulang selepas berjumpa dengan rakan,” katanya.

Sementara itu, seorang warga asing yang hanya mahu dikenali sebagai Ranbir, 28, berkata, dia bersama lima kawannya berada di situ kerana diminta berbuat demikian oleh majikannya.

“Majikan saya nak bawa kami ke pejabat pelanggannya untuk melakukan kerja pertukangan dan kami baru sahaja tiba di sini.

“Saya dan rakan-rakan hanya mengikut arahan majikan yang minta untuk tunggu di sini sebelum dia datang mengambil kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang warga tempatan yang hanya mahu dikenali Rashidah, 25, dia ke tasik itu untuk makan dengan teman lelakinya.

“Semua restoran hanya menyediakan perkhidmatan bawa pulang dan penghantaran sahaja. Oleh demikian, saya singgah sebentar di tasik untuk makan seketika sahaja,” ujarnya.

Semalam, Selangor masih lagi mencatat kes tertinggi iaitu 1,213 kes diikuti Sabah (432 kes), Johor (329 kes), Kuala Lumpur (250 kes), Kelantan (150 kes), Negeri Sembilan (126 kes), Melaka (156 kes), Pulau Pinang (145 kes), Kedah (142 kes), Perak (114 kes) dan Sarawak 100 kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya