Tiada perbincangan PKP penuh - EuroCham Malaysia - Utusan Malaysia

Tiada perbincangan PKP penuh – EuroCham Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) menafikan ada perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh menjelang 4 Februari ini.

Penjelasan itu dibuat selepas satu surat dalaman kepada ahlinya tersebar berhubung tindakan kerajaan untuk menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi sekiranya kes penularan Covid-19 gagal dikawal.

EuroCham dalam kenyataan berkata, intipati perbincangan tidak rasmi dengan kementerian itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bagaimana komuniti perniagaan dapat memainkan peranan dalam melandaikan keluk jangkitan Covid-19 dan kesan ekonomi yang boleh berlaku sekiranya masing-masinh tidak memainkan peranan aktif.

“Dalam konteks ini, keadaan tempat tinggal pekerja telah disebut berkali-kali dalam pekeliling dalaman sebagai tindakan penting dalam memutuskan rantaian jangkitan wabak itu.

“Walaupun Kementerian membangkitkan situasi genting ketika ini dengan kes positif semakin meningkat, namun PKP penuh itu tidak disebut dalam perbincangan itu selepas 4 Februari ini, justeru orang ramai diminta memberi fokus kepada peranan masing-masing bagi memastikan pelaksaan PKP semula dapat dielakkan,” katanya hari ini.

Dalam surat yang tersebar itu, EuroCham Malaysia memaklumkan cadangan pelaksanaan PKP penuh itu diberitahu kepada pihaknya menerusi satu pertemuan pada 22 Januari lalu.

Menerusi pertemuan itu, mereka dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan tegas dengan pendirian untuk menutup sepenuhnya sektor ekonomi yang merupakan penyumbang utama penyebaran Covid-19.

Dalam pada itu, Pengerusi EuroCham Malaysia, Oliver Roche berkata, dalam tempoh sukar ketika ini, pihaknya amat menghargai kerjasama kukuh dengan kerajaan Malaysia terutama dengan Kementerian itu dan masing-masing telah melaksanakan tugas sebaiknya dalam menangani pandemik sejak tahun lalu.

Beliau berkata, banyak laporan media berhubung peningkatan kluster jangkitan Covid-19 melibatkan pelbagai kilang, tempat pembinaan dan pelbagai lokasi tempat kerja lain.

“Justeru kami meminta komuniti perniagaan untuk mengambil berat perkara ini dan lebih penting untuk memainkan peranan masing-masing dengan melaburkan pelbagai sumber bagi melaksanakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sepenuhnya untuk mengelak pelaksanaan semula PKP penuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EUROCHAM Malaysia, Sven Schneider berkata, dalam memberikan fokus kepada impak negatif pandemik kepada ekonomi, perlu dilihat juga bagaimana kerajaan banyak melakukan usaha untuk membantu rakyat.

Katanya, secara global, pandemik ini menimbulkan panik dan menjejaskan kehidupan setiap orang sejak tahun lalu, oleh itu, semua pihak perlu fokus atas kapasiti masing-masing untuk memberikan sumbangan bagi mengakhirkan wabak berkenaan.

EuroCham Malaysia akan terus teguh menyokong komuniti perniagaan antara kerajaan Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya