BENTONG: Tahap pematuhan orang ramai terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 22 Januari lalu di negeri ini cukup baik iaitu pada kadar 97 peratus.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, sehingga kini tiada tangkapan dilakukan polis terhadap individu yang didapati melanggar peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.
“Jumlah kompaun yang dikenakan kepada individu di Pahang setakat ini adalah melibatkan 19 orang dan sebanyak lima premis dikompaun.
“Saya percaya ini (pematuhan lebih baik) kerana kita bukannya baharu dalam menghadapi PKP,” katanya selepas meninjau operasi sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Bentong, di sini hari ini.
Yang hadir sama Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan Ketua Polis daerah, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar.
Dalam majlis itu, Jasvir yang mewakili mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan sumbangan keperluan petugas-petugas SJR daripada Menteri Besar.
Menurut Mohd. Yusri, pada masa ini terdapat 34 SJR di negeri ini melibatkan 695 petugas yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, setakat ini jumlah permit harian rentas negeri dan daerah yang diluluskan adalah sebanyak 2,263 permit daripada 2,348 permohonan.
“Untuk SJR di Plaza Tol Bentong, kita memperketatkan kawalan dan pemeriksaan bagi memastikan pengguna yang melalui SJR ini mematuhi peraturan ditetapkan,” ujarnya.
Sementara itu Jasvir berkata, sumbangan daripada Menteri Besar tersebut bagi membantu petugas SJR yang bekerja siang dan malam.
Katanya, bantuan berupa pelitup muka, pencuci tangan dan lampu picit SJR itu penting serta diperlukan.
“Kita akan melihat apa-apa keperluan lain petugas SJR termasuk tandas bergerak di kawasan yang tiada kemudahan tandas awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE