KOTA BHARU: Individu dari luar Kelantan tidak perlu lagi mengemukakan keputusan ujian swab atau dan memakai gelang merah jambu dan menjalani kuarantin selama 10 hari ketika memasuki negeri ini.
Pembatalan syarat tambahan yang dikenakan kerajaan negeri sebelum ini tersebut diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, hari ini.
Menurut Dr. Izani, keputusan menarik semula arahan itu selepas mengambil kira bilangan petugas kesihatan yang kini tidak mencukupi selain kos tinggi yang perlu ditanggung orang ramai jika mahu melakukan ujian swab di klinik swasta.
“Dengan penarikan semula arahan ini, rakyat Kelantan diharap dapat menjaga diri dan keluarga masing-masing untuk menyekat dan memutuskan rantaian pandemik Covid-19 di negara ini.
“Paling penting semua pihak kena utamakan kebersihan diri serta patuh pada prosedur operasi standard (SOP),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Teknikal Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim.
Media sebelum ini melaporkan syarat lebih ketat dikenakan kepada individu yang ingin memasuki Kelantan termasuk perlu mengemukakan keputusan ujian swab bersama surat kebenaran polis, berkuat kuasa 13 Januari lalu.
Individu terbabit juga dikehendaki memakai gelang merah jambu sepanjang berada di negeri ini dan perlu menjalani kuarantin selama 10 hari. – UTUSAN ONLINE