Seluruh negara kecuali Sarawak kena PKP - Utusan Malaysia

Seluruh negara kecuali Sarawak kena PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tidak sampai empat hari Kelantan dan Bahagian Sibu di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kini seluruh negara termasuk dalam senarai tersebut.

Langkah itu meliputi Perlis yang selama ini zon hijau dan diletakkan dalam PKP Pemulihan (PKPP) bersama-sama Sarawak ketika pengumuman Perdana Menteri pada 11 Januari lalu.

Sementara lima negeri lain yang sebelum ini bertaraf PKP Bersyarat (PKPB) ialah Kedah, Perak, Negeri Sembilan (kecuali Seremban dan Port Dickson), Pahang dan Terengganu.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua enam negeri terbabit menjalani PKP bermula 12.01 tengah malam 22 Januari hingga 4 Februari ini.

“Ini bermakna hanya Sarawak yang masih lagi PKPP kecuali Bahagian Sibu,” kata beliau menerusi sidang akhbar khas mengenai PKP di kementeriannya di ibu negara semalam.

Sarawak adalah negeri paling besar di Malaysia serta mempunyai sistem 12 bahagian dengan di bawah pentadbiran setiap satu tersebut mengandungi daerah dan daerah kecil.

Minggu lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula PKP 2.0 di lima negeri dan kesemua tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Negeri yang terlibat pula iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor dan Sabah dikenal pasti Kementerian Kesihatan sebagai merekodkan kes baharu penularan wabak Covid-19 tertinggi.

Ismail Sabri pada 15 Januari lalu kemudian mengumumkan PKP di Kelantan yang sebelum itu bertaraf sebagai PKPB dan Bahagian Sibu berkuat kuasa keesokan hari hingga 26 Januari.

Beliau semalam mengisytiharkan pula pelaksanaan PKP terbaharu meliputi Daerah Seremban dan Port Dickson yang bermula hari ini sehingga 1 Februari depan.

Bagaimanapun, pengumuman beliau pada hari ini lebih memeranjatkan banyak pihak kerana hanya 11 bahagian pentadbiran di Sarawak yang masih lagi bertaraf PKPP dan tiada lagi PKPB.

“Prosedur operasi standard PKP masih lagi sama seperti yang saya pernah umum sebelum ini termasuk tempoh waktu operasi perniagaan sektor dibenarkan dan sebagainya,” jelas beliau.

Pelaksanaan PKP 2.0 itu ujar beliau, dibuat setelah mendapat nasihat dan penilaian risiko pihak Kementerian Kesihatan susulan peningkatan kes positif direkodkan banyak daerah terlibat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya