SHAH ALAM: Operasi pengurusan pepejal dan kebersihan di Selangor berjalan seperti biasa semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Tahir berkata, kedua operasi tersebut dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang digubal oleh syarikat itu.
“Pekerja subkontraktor termasuk pemandu lori kompaktor/RORO, krew kutipan dan penyelia hendaklah memakai pakaian perlindungan diri (PPE) dan menggunakannya semasa menjalankan tugasan.
“Warga kerja dan semua pemandu serta krew subkontraktaktor kutipan sampah dinasihat mengurangkan kontak dengan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua jabatan di ibu pejabat perlu memastikan hanya 30 peratus kakitangan atau sekurang-kurangnya seorang kakitangan bertugas di pejabat pada hari bekerja.
“Semua temujanji atau mesyuarat yang dirancang diminta tidak diteruskan sehingga keadaan kembali stabil.
“Semua warga kerja dan krew subkontraktor digalakkan membawa sendiri makanan ke pejabat atau tempat kerja. Mereka yang hadir ke pejabat juga hanya atas urusan kerja sahaja dan tidak berada di pejabat itu terlalu lama,” katanya. – UTUSAN ONLINE