TAMPIN: Susulan seorang kakitangan wanitanya disahkan positif Covid-19, Pejabat Agama Islam Daerah Tampin, di sini ditutup buat sementara bermula hari ini hingga 3 Februari ini.
Difahamkan, seramai 21 kontak rapat individu berkenaan yang terdiri daripada kakitangan pejabat tersebut diarahkan menjalani ujian calitan Covid-19.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Mohd. Zaidi Ramli berkata, sebagai langkah awal, proses sanitasi dijalankan di pejabat berkenaan semalam.
“Walaupun operasi pejabat ditutup, kesemua kakitangan masih bekerja dari rumah dan kontak rapat pula menjalani ujian calitan.
“Pejabat Agama Islam Daerah Tampin masih menerima sebarang permohonan nikah, kahwin atau sebagainya melalui kaedah yang ditetapkan iaitu meletakkan borang di pejabat di dalam bekas disediakan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Mohd. Zaidi berkata, pihaknya meminta orang ramai tidak bimbang dan membuat sebarang andaian tidak wajar berhubung kes berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan turut memaklumkan pejabatnya yang terletak di Jalan Seremban-Tampin masih lagi ditutup sepenuhnya kepada orang ramai sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Sebelum ini pejabat yang sama ditutup lima hari sejak Isnin minggu lalu susulan terdapatnya kes positif Covid-19 di pejabat berkenaan.
Semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapatnya kluster baharu di negeri ini iaitu, Kluster Bukit Emas yang merujuk kepada lokaliti kes-kes dalam kluster ini yang dilaporkan berlaku iaitu di sebuah institusi awam yang terletak di Bukit Emas, Seremban.
Sehingga semalam, sejumlah 448 individu telah disaring di mana 46 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini. – UTUSAN ONLINE