GEORGETOWN: Pemeriksaan bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak Covid-19 digandakan oleh anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, semua pihak diminta akur dengan SOP berkaitan pelaksanaan PKP agar penularan pandemik Covid-19 di negeri ini dapat segera dibendung.
“Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di bahagian pulau dan Seberang Prai akan menggandakan pemantauan serta pemeriksaan SOP bagi mengurangkan kes baharu di negeri ini.
“Ketika ini, wira hadapan adalah rakyat. Jadi kita minta rakyat patuh SOP dan terus berdisplin untuk menghentikan penularan wabak Covid-19,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan kepada wira hadapan MBPP di Dewan Bandaraya, di sini hari ini.
PKP yang diumumkan Isnin lalu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan enam negeri iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Wilayah Persekutuan Johor, Sabah dan Melaka.
Setakat semalam, Pulau Pinang mencatatkan 234 kes baharu Covid-19 menjadikan kumulatif kes sebanyak 5,713 kes.
Menurut Jagdeep, daripada 1.36 juta pemeriksaan yang dijalankan oleh MBPP dan MBSP, pematuhan SOP oleh orang ramai didapati mencapai kadar 99 peratus bagi keseluruhan Pulau Pinang.
Dalam pada itu, katanya, kedua-dua PBT juga mengeluarkan garis panduan berhubung perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan ketika pelaksanaan PKP di negeri ini.
“Kami menerima banyak pertanyaan mengenai aktiviti serta sektor yang boleh dan tidak boleh beroperasi.
“MBPP dan MBSP akan mengeluarkan garis panduan tersebut selepas mendapat penjelasan serta makluman daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, susulan arahan penutupan semua taman awam, rakyat di negeri ini dinasihatkan mematuhinya dan mencari alternatif lain untuk beriadah.
“Penutupan ini adalah selaras dengan pelaksanaan PKP dan semua orang dinasihatkan mematuhinya bagi memastikan Covid-19 dapat dibendung,” katanya. – UTUSAN ONLINE