Operasi sekolah bersemuka di Kelantan, Sibu ditangguh - Utusan Malaysia

Operasi sekolah bersemuka di Kelantan, Sibu ditangguh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kesemua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan di negeri Kelantan dan Bahagian Sibu, Sarawak ditangguhkan.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, ia adalah mengikut ketetapan yang dibuat bagi pengoperasian di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, para pelajar yang terlibat di negeri berkenaan hanya perlu ke sekolah secara bersemuka selepas PKP ditamatkan pada 26 Januari ini.

Mengikut kenyataan kementerian pada 11 Januari lalu, kumpulan pelajar itu di negeri PKP akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari ini termasuk murid Semester 2 Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Semester 2 DVM tahun 2020 di Kolej Vokasional.

Sesi persekolahan secara bersemuka hanya melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), SVM, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 dan 2021 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Berikutan pengumuman Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob petang tadi, PKP akan berkuat kuasa esok di negeri Kelantan dan Bahagian Sibu, Sarawak.

“Oleh itu, semua institusi pendidikan di kawasan itu hendaklah mengikut ketetapan yang dibuat bagi pengoperasian institusi pendidikan di kawasan PKP seperti kenyataan media Pengoperasian Institusi Pendidikan bertarikh 11 Januari lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN