Melaka benarkan solat di masjid ikut kapasiti, maksimum 500 jemaah - Utusan Malaysia

Melaka benarkan solat di masjid ikut kapasiti, maksimum 500 jemaah

KERAJAAN negeri membenarkan solat Jumaat di masjid dan surau mengikut kapasiti berbanding hanya 45 jemaah sebelum ini di Melaka. -UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri membenarkan aktiviti di masjid dan surau termasuk solat jemaah dan solat Jumaat mengikut kapasiti rumah ibadat itu dengan jumlah maksimum 500 jemaah bagi masjid kerajaan dan 250 jemaah di masjid kariah serta 75 di surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa esok.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, kuliah Maghrib dan bacaan Yassin selepas Maghrib pada hari Khamis malam Jumaat antara aktiviti yang dibenarkan di samping pengurusan serta solat jenazah.

Beliau berkata, kebenaran itu dibuat selepas mengambil kira pengumuman melanjutkan PKP sehingga 4 Februari ini yang dibuat kerajaan sebelum ini.

“Jumlah jemaah untuk aktiviti yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti bangunan masjid dan surau yang jemaah biasa bersolat dengan penjarakan fizikal satu meter. Bagaimanapun, solat di luar bangunan masjid dan surau adalah dilarang.

“Jawatan kuasa masjid dan surau juga hendaklah memastikan jemaah mematuhi tatacara prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti pendaftaran jemaah, pemakaian pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri hanya membenarkan seramai 45 jemaah menunaikan solat Jumaat di masjid manakala lima jemaah bagi solat fardu dalam satu-satu masa.

Tambahnya, mereka yang tidak berpeluang untuk solat Jumaat diwajibkan menunaikan solat Zohor di rumah masing-masing.

Sementara itu, Sulaiman memaklumkan, perkhidmatan nikah, cerai dan rujuk turut dibuka melalui janji temu bersama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bermula esok.

Beliau berkata, perkhidmatan itu meliputi permohonan kebenaran berkahwin, temuduga perkahwinan Islam, pendaftaran perkahwinan, perceraian dan rujuk.

“Selain itu, urusan pentadbiran yang berkaitan dengannya seperti carian sijil nikah, cerai dan rujuk dibuka melalui janji temu. Bagi perkhidmatan khidmat nasihat dan runding cara kekeluargaan dijalankan secara dalam talian atau bersemuka juga melalui janji temu.

“Sehubungan itu, orang awam dimohon menghubungi JAIM terlebih dahulu bagi mendapatkan perkhidmatan yang dinyatakan di atas,” katanya yang tidak menggalakan kehadiran orang ramai tanpa janji temu.

Ujar beliau, dalam tempoh PKP ketika ini juga, majlis akad nikah masih dibenarkan dengan mengikut tatacara termasuk lokasi majlis akad nikah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN