PASIR PUTEH: Selain melakukan sekatan jalan raya (SJR) di pintu-pintu masuk utama ke Kelantan, polis turut mengawasi dengan ketat setiap laluan alternatif atau ‘lorong tikus’ yang ada di kawasan sempadan bagi memastikan larangan rentas negeri dipatuhi sepenuhnya.
Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, polis mewujudkan pasukan khas yang turut membabitkan anggota tidak berpakaian seragam bagi melakukan pemantauan dan rondaan secara bergilir-gilir di setiap lorong tikus dikenal pasti.
Kata beliau, selepas kelonggaran merentas negeri tamat tengah malam ini, tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang cuba berbuat demikian secara tidak sah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
“Orang ramai termasuk yang tinggal di kawasan sempadan negeri dinasihatkan tidak merentas sempadan dengan cara tidak betul. Sekiranya ada kecemasan dan amat berkeperluan, polis sedia membantu mengikut prosedur ditetapkan kerajaan.
“Perlu diingatkan, mana-mana pihak terutama dari zon merah yang berhasrat masuk ke negeri ini diwajibkan melakukan ujian saringan Covid dan mengemukakan keputusan ujian sebagai syarat utama,” katanya kepada pemberita selepas meninjau SJR di Bukit Yong, di sini hari ini.
Sementara itu, Shafien berkata, sebanyak 1,552 kenderaan direkodkan melalui kesemua empat SJR di negeri ini pada hari kedua PKPB, berkurangan berbanding hari pertama sebanyak 3,315 kenderaan.
Dalam tempoh dua hari pertama PKPB, kata beliau, sebanyak 84 kenderaan diarahkan berpatah balik kerana gagal menunjukkan dokumen sah selain memberi alasan tidak munasabah.
“Sementara itu sepanjang hari semalam, sebanyak 74 kompaun dikeluarkan membabitkan 43 individu yang didapati tidak memakai pelitup muka dan 31 individu gagal mematuhi penjarakan fizikal di negeri ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE