PUTRAJAYA: Sejumlah 514 individu ditangkap semalam atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Kesemua ditahan Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 45,172 pemeriksaan dan meliputi pelbagai premis terdapat di seluruh negara.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 495 dikompaun, 18 direman dan seorang dijamin dengan kes tertinggi i173 ditahan tidak memakai pelitup muka.
“Ini diikuti tiada jarak fizikal (129 kes), gagal sedia alat rekod butiran diri (87 kes), aktiviti pusat hiburan (33 kes), rentas kawasan tanpa izin (23 kes) dan lain-lain (69 kes),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Sejumlah 2,981 pasukan pematuhan yang meliputi 12,923 anggota memantau 3,111 pasar raya, 3,913 restoran, 1,548 pasar awam, 2,646 rumah ibadah dan 1,268 tempat riadah.
Menurut beliau, seramai 42 pendatang asing tanpa izin ditahan semalam melalui Operasi Benteng meliputi pelbagai agensi bagi kekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan Covid-19.
“Sebanyak tiga kenderaan darat dan sebuah bot dirampas, manakala 444 sekatan jalan raya dilaksanakan semalam bagi memastikan sempadan negara dikawal ketat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 84 operasi sanitasi awam juga dijalankan semalam merangkumi 15,258 premis melibatkan penyertaan sejumlah 622 anggota bomba dan 106 jentera jabatan tersebut.
Ia meliputi 2,981 pusat perniagaan, 1,714 kawasan perumahan, 3,303 tempat awam, 357 pasar raya dan 7,173 bangunan kerajaan sudah berjaya disanitasi dalam operasi tersebut.
Menyentuh kuarantin wajib, ujarnya, sehingga kini seramai 8,474 individu pulang ke tanah air sedang menjalani proses itu, manakala 540 individu dihantar ke hospital untuk rawatan.
“Sejumlah 104,284 individu sudah dibenarkan pulang ke rumah setelah menjalani kuarantin wajib di 80 buah hotel serta 16 institut latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.
Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) semalam memeriksa 36 tapak binaan dengan 31 daripadanya beroperasi namun lima lagi tidak pula beroperasi.
Hasil pemeriksaan agensi itu ujarnya, mendapati sejumlah 28 tapak binaan mematuhi SOP ditetapkan kerajaan, satu pula tidak patuh dan diberi amaran manakala dua diarahkan tutup.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemeriksaan 25 jenis bekalan barangan di 509 peruncit, 176 pemborong dan 29 pengilang.
Pegawai penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,722 pemeriksaan khas pematuhan SOP di seluruh negara dengan kesemua premis diperiksa mematuhi peraturan ditetapkan itu. – UTUSAN ONLINE