JOHOR BAHRU: Johor merekodkan satu lagi kluster baharu menjadikan keseluruhan kluster aktif di negeri ini sebanyak 44 dengan terbaru melibatkan Kluster Suria di sebuah pusat perubatan swasta di Jalan Suria, di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan dilaporkan positif pada 17 Januari lalu.
Sehingga semalam, kata beliau, seramai 686 orang disaring dengan 24 daripada mereka dilaporkan positif Covid-19.
“Semalam, sebanyak 329 kes positif Covid-19 baharu dilaporkan di negeri ini iaitu 100 kes daripada kluster sedia ada, 19 kes daripada kluster baharu, 95 kes daripada saringan kontak rapat dan 115 kes daripada lain-lain saringan.
“Pertambahan itu menjadikan kumulatif kes positif di negeri ini sebanyak 13,701 kes, dengan 7,938 kes dilaporkan pulih manakala 5,712 kes masih dirawat, sementara kes kematian kekal sebanyak 51,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Antara kluster aktif lain di negeri ini ialah Kluster Tropika, Kluster Kota, Kluster Senai, Kluster Mikro, Kluster Firma dan Kluster Harum.
Tambah beliau, kadar pematuhan rakyat negeri ini terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berada pada tahap 97 peratus walaupun seramai 82 individu dikenakan kompaun sehingga semalam.
“Pada masa sama, masyarakat diingatkan untuk sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi sama-sama membendung penularan Covid-19 di negeri ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE