Kesesakan, pergerakan punca jangkitan banduan dan tahanan - Utusan Malaysia

Kesesakan, pergerakan punca jangkitan banduan dan tahanan

NOOR HISHAM ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mendedahkan dua faktor menjadi punca berlakunya jangkitan Covid-19 dalam kalangan tahanan di penjara, lokap dan depoh tahanan imigresen (DTI) termasuk pegawai bertugas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dua faktor terbabit adalah kesesakan yang memudahkan merebaknya virus terbabit dan pergerakan dari penjara ke lokasi lain yang turut sesak.

Katanya, perkara ini bukanlah perkara baharu malah ketika gelombang kedua, banyak jangkitan berlaku di depoh tahanan Imigresen.

“Kesesakan semua pusat tahanan menjadi punca dan apabila berlakunya pemindahan ke penjara lain ataupun proses ke mahkamah ataupun lokap maka jangkitan boleh berlaku.

“Biarpun adanya prosedur operasi standard (SOP) tapi kesesakan berlaku dan jangkitan berlaku hinggakan pegawai penjara dan warden turut dijangkiti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bagaimana jangkitan boleh berlaku dalam kalangan banduan dan tahanan.

Noor Hisham berkata, jangkitan dalam komuniti dibawa masuk ke dalam penjara, ia boleh berlaku dan apabila dibawa ke mahkamah atau lokasi yang berkaitan, jangkitan berlaku seperti yang berlaku di hospital

Katanya, sehingga 18 Januari terdapat 28 kluster dalam gelombang ketiga dimana ia membabitkan semua pusat tahanan termasuk penjara dan DTI

“Ia termasuk dua kluster membabitkan penjara satelit iaitu Kluster Damai Pelangi, Selangor serta Perak dan Kluster Tembok, Melaka.

“Jika dilihat daripada jumlah itu, sebanyak 20 kluster mempunyai kes indeks di mana 14 kluster membabitkan banduan dan warden atau pegawai penjara serta pegawai polis manakala bakinya kluster saringan bersasar,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai jumlah penambahan hospital yang dijadikan pusat rawatan pesakit Covid-19, Dr. Noor Hisham berkata, ia bagi membantu pihak kementerian dalam memberi rawatan kepada pesakit kategori tiga, empat dan lima yang memerlukan rawatan khusus.

“Jika dipecahkan, Johor, Hospital Sultan Ismail (20 katil), Hospital Muar (24 katil) dan Hospital Sultanah Nora Ismail (28 katil); Kedah, Hospital Sultan Abdul Halim (60 katil) serta Selangor, Hospital Serdang (108 katil) dan Hospital Selayang (56 katil).

“Bagi Pahang, Hospital Pekan (12 katil), Hospital Jengka (50 katil), Hospital Muadzam Shah (28 katil); Terengganu, Hospital Setiu (56 katil); Kelantan, Hospital Jeli (24 katil), Sabah, Hospital Kudat (29 katil) dan Sarawak, Hospital Limbang (28 katil) serta Hospital Sarikei (16 katil),” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya