Henti bertelagah pembukaan masjid, surau - Sultan Selangor - Utusan Malaysia

Henti bertelagah pembukaan masjid, surau – Sultan Selangor

SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH - FB Selangor Royal Office
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa kesal terhadap segelintir pihak yang mementingkan diri sendiri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, keputusan yang dibuat untuk mengehadkan bilangan jemaah di masjid-masjid adalah demi keselamatan seluruh umat Islam.

Menurut Muhamad Munir, statistik terbaharu di Selangor melibatkan kes-kes jangkitan Covid-19 masih lagi meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

“Malah, ketika ini kes positif di negeri ini mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian. Baginda tidak mahu lebih ramai rakyat di Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan prosedur operasi standard (SOP) sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Sultan Selangor menitahkan selepas ini tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan diambil sebulat suara oleh pihak berwajib demi keselamatan umat Islam di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhamad Munir berkata, Sultan Selangor memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri ini yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid kerana perlu mematuhi SOP di bawah pelaksanaan PKP.

Jelas beliau, baginda turut membaca sendiri rayuan yang disalurkan menerusi Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid dan permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara tersebut.

“Sultan Selangor menegaskan keputusan dibuat demi keselamatan semua. Tidak bererti jika masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga terhenti,” ujarnya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN