PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dibenarkan keluar hospital Ahad lalu selepas disahkan pulih dari jangkitan Covid-19.
Beliau amat menghargai perkhidmatan doktor, jururawat dan petugas barisan hadapan sepanjang menerima rawatan dan pemantauan rapi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Terima kasih tidak terhingga diucapkan kepada para doktor, jururawat serta barisan petugas hadapan yang telah memberikan perkhidmatan cemerlang dan layanan mesra tidak mengira penat lelah sepanjang tempoh rawatan saya.
“Kepada semua pihak yang bertanya khabar, memberikan kata semangat dan mendoakan kesihatan saya, terima kasih saya ucapkan. Keprihatihan anda semua telah memberikan kekuatan kepada saya untuk terus melawan virus Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah menyeru kepada semua rakyat untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
Katanya, semua pihak perlu memberikan kerjasama penuh kepada barisan petugas hadapan dan kerajaan dalam usaha untuk memutuskan penularan pandemik Covid-19.
“Saya berdoa ke hadrat Allah SWT agar kita semua diberikan nikmat kesihatan dan sentiasa mendapat perlindungan daripadaNya,” katanya.
Hamzah disahkan positif Covid-19 pada 12 Januari lalu. – UTUSAN ONLINE