PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof hari ini disahkan negatif daripada dijangkiti virus pandemik Covid-19.
Menurut kenyataan dikeluarkan pejabat menteri tersebut, beliau menjalani dua kali ujian saringan dan hasil keputusan terbaharu yang diterima pagi ini mengesahkan dirinya negatif.
“Kementerian Kesihatan sudah menjalankan ujian pengesanan bagi sampel kedua pada 14 Januari lalu dan disahkan negatif pada 15 Januari,” kata kenyataan itu..
Mohd. Redzuan yang mesra disapa sebagai Pak Wan turut disahkan pejabat beliau selesai menjalani pelaksanaan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO).
Justeru, pejabat berkenaan memaklumkan bahawa kedua-dua ujian dilaksanakan sepanjang kuarantin kendiri disahkan negatif dan tempoh HSO ke atas beliau tamat hari ini.
Awal minggu ini, beliau diarah menjalani ujian saringan selepas menjadi kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang positif Covid-19. – UTUSAN ONLINE