KOTA BHARU: Kelantan yang sebelum ini antara negeri dengan kes harian Covid-19 terendah mencatatkan bilangan kes tiga digit tiga hari berturut-turut dengan rekod tertinggi semalam iaitu sebanyak 150 kes.
Dua hari sebelumnya, bilangan kes harian di negeri ini masing-masing sebanyak 114 kes dan 141 kes.
Infografik terkini dikeluarkan Jabatan Kesihatan negeri pula menunjukkan Kelantan semakin menghampiri zon merah sepenuhnya, dengan sembilan daripada 10 jajahan sudah dikategorikan sebagai zon merah.
Satu-satunya jajahan yang belum bertukar ‘merah’ ialah Jeli yang kini kekal sebagai zon kuning dengan 12 kes masih aktif.
Kota Bharu merekodkan kes aktif tertinggi iaitu 299 kes diikuti Gua Musang (144 kes), Bachok (139 kes), Tumpat (99 kes), Machang (87 kes), Tanah Merah (82 kes), Kuala Krai (78 kes), Pasir PUteh (55 kes) dan Pasir Mas (49 kes).
Jabatan Kesihatan negeri turut memaklumkan satu kluster baharu di negeri ini diisytiharkan semalam iaitu Kluster Pulau Lima di Pasir Puteh, menjadikan 19 kluster aktif yang dikenal pasti di seluruh Kelantan setakat ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, dengan rekod kes harian tertinggi dicatatkan semalam, semua pihak perlu menilai sendiri usaha masing-masing bagi memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini.
“Bagaimana kepatuhan kita terhadap peraturan yang ditetapkan? Elak hadir tempat berisiko, jaga kebersihan, patuhi SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan demi kebaikan bersama,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya. – UTUSAN ONLINE