JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menjalankan proses sanitasi melibatkan tiga pintu masuk ke Malaysia di negeri ini secara berkala bermula esok.
Pengarahnya, Datuk Yahaya Madis berkata, tiga pintu utama yang terlibat adalah Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (KKIK) di Bangunan Sultan Iskandar; Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Gelang Patah dan Lapangan Terbang Antabangsa Senai (LTAS).
Kata beliau, setiap operasi sanitasi yang dijalankan melibatkan antara 20 hingga 50 anggota.
“Susulan cadangan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad, JBPM Johor akan menjalankan proses sanitasi bermula esok di LTAS diikuti KSAB pada hari Jumaat dan KKIK minggu depan.
“Proses sanitasi dilakukan ini melibatkan bahagian bangunan yang digunakan. Sebagai contoh di KSAB dan KKIK melibatkan laluan pemandu lori,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat operasi sanitasi yang dijalankan secara bersepadu antara JBPM Johor dan Majlis Bandaraya Johor Bahru di Pasar Borong Pandan, di sini hari ini.
Menurut Yahaya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua dilaksanakan kerajaan bermula 13 Januari lalu, pihaknya telah melakukan sebanyak 230 operasi sanitasi.
“Operasi berkenaan melibatkan pelbagai kawasan antaranya bangunan kerajaan, sekolah, bangunan swasta dan kawasan awam.
“Jumlah keseluruhan operasi sanitasi yang dibuat sepanjang PKP tahun lalu sehingga kini pula adalah sebanyak 2,575 operasi melibatkan pelbagai lokasi di seluruh Johor,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan sepanjang tahun lalu dan tahun ini, tiada anggota bomba yang direkodkan positif Covid-19 hasil daripada kerja sanitasi yang dilakukan mahupun jangkitan di tempat kerja.
“PKP tahun lalu, ada beberapa anggota positif namun ia bukan berpunca daripada jangkitan di tempat kerja mahupun ketika melakukan proses sanitasi, sebaliknya berpunca daripada jangkitan di luar tempat kerja,” katanya. – UTUSAN ONLINE