KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita terhadap rakyat yang masih tidak peka dengan setiap tindak-tanduk harian khususnya berkenaan pematuhan disiplin amalan norma baharu serta kawalan kendiri bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka antara lain menyeru seluruh rakyat di negara ini menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada petugas barisan hadapan selain berganding bahu, berdisiplin mematuhi semua perintah yang telah ditetapkan oleh kerajaan menerusi prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, Seri Paduka berharap agar para wira dan wirawati petugas barisan hadapan terus cekal dan tabah dalam memerangi gelombang ketika penularan pandemik Covid-19.
“Inilah masanya untuk kita sebagai warganegara dan rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan politik, bangsa dan agama, bersama-sama mempamerkan semangat kesetiaan, kemanusiaan dan jati diri memerangi wabak Covid-19.
“Demi tugas, para wira dan wirawati negara ini bukan sahaja sanggup mempertaruhkan nyawa demi memikul amanah yang diberi, mereka juga terpaksa berjauhan dengan keluarga sejak penularan wabak ini. Mereka kini bukan sahaja letih memerah keringat tetapi juga keletihan mental.
“Sesungguhnya, usaha-usaha gigih para petugas barisan hadapan bertugas tanpa henti dan bersabung nyawa di lapangan, klinik kesihatan, hospital, makmal dan semua fasiliti kesihatan mahupun di belakang tabir, demi menjamin kesihatan dan keselamatan rakyat Malaysia sewajarnya dipuji dan terus dihargai,” titah Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE