Adaptasi berdepan norma baharu kehidupan - Utusan Malaysia

Adaptasi berdepan norma baharu kehidupan

TUANKU SYED FAIZUDDIN PUTRA JAMALULLAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Dalam mendepani pandemik Covid-19, masyarakat sudah tiada pilihan selain berusaha sedaya upaya mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam berdepan suasana kebiasaan norma baharu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pandemik Covid-19 memberi kesan dan implikasi selain menjarak dan menjauhkan kehidupan masyarakat daripada aspek fizikal.

Titah baginda, beberapa program yang disusun atur dan dilaksanakan sebelum ini terpaksa disesuaikan dengan prosedur operasi standard (SOP) dan pendekatan yang berbeza bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan bersama terpelihara.

“Oleh itu, adalah diharapkan ujian wabak ini lebih mendekatkan kita dan tidak semata-mata sebagai penghalang serta cabaran untuk kita terus menangani isu ummah.

“Malah kita boleh menjadi lebih cemerlang daripada sebelumnya jika kita benar-benar mahu mencari jalan lebih kreatif,” titah baginda ketika berkenan menyampaikan titah aluan pada mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), di sini hari ini.

Mesyuarat pertama pembukaan tahun baharu itu dilaksanakan melalui sidang secara maya.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, menyorot kembali sepanjang tahun 2020, kejayaan MAIPs menunjukkan iltizam dan keutuhan semangat seluruh warganya dalam memastikan majlis itu kekal relevan serta berbakti kepada ummah.

“Tahun 2020 juga menyaksikan usaha MAIPs dalam menutup kurun pertamanya dengan pelbagai pencapaian memberangsangkan. Usia 100 tahunnya, menjadikan MAIPs semakin kental dan matang dalam berhadapan dengan pelbagai ujian dan cabaran yang mendatang.

“Buktinya, pada saat penularan pandemik Covid-19, MAIPs muncul memberikan bakti, menyuluh jalan dan memimpin ummah untuk berhadapan dengan pelbagai rintangan,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN