KOTA BHARU: Seramai 210 pesakit Covid-19 yang tidak bergejala di negeri ini menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) oleh Jabatan Kesihatan di rumah masing-masing sejak seminggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, mereka yang menjalani HSO di rumah itu terdiri daripada pesakit yang tidak bergejala dari Kota Bharu, Bachok, Jeli, Tumpat dan Tanah Merah.
Kata beliau, langkah itu diambil berikutan bilangan katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dibuka di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI dan Kolej Kejururawatan, di sini tidak mencukupi untuk menampung bilangan pesakit.
“PKRC di Dewan Jubli Perak hanya menyediakan sebanyak 120 katil manakala PKRC di Kolej Kejururawatan pula hanya mempunyai 36 katil untuk keluarga.
“Jadi, semua pesakit tidak bergejala kini ditempatkan di rumah masing-masing dengan pihak hospital akan memantau dan menghubungi mereka dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Teknikal Covid-19 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Dr. Izani menambah, sebelum membenarkan pesakit menjalani HSO di rumah, pihak jabatan akan menilai keadaan rumah tersebut terlebih dahulu termasuk mengambil kira penghuni lain terutama warga emas dan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.
“Jika keadaan tidak sesuai dan berisiko untuk penghuni lain di rumah itu, pesakit Covid-19 ini akan ditempatkan di PKRC,” katanya.
Beliau juga memberitahu, kerajaan negeri kini mencari beberapa lokasi lain yang bersesuaian untuk dijadikan PKRC bagi mengatasi masalah kekurangan katil untuk menempatkan pesakit Covid-19.
Kelantan mencatatkan sebanyak 133 kes baharu individu yang positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang aktif di seluruh negeri mencecah 1,260 kes. – UTUSAN ONLINE