KUALA TERENGGANU: Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) akan membangunkan Pusat Kajian Penyakit Berjangkit di bawah Fakulti Perubatannya tidak lama lagi.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, penubuhan pusat yang dilengkapi kemudahan makmal itu bakal membantu usaha menangani penularan penyakit berjangkit termasuk Covid-19.
“Kita tahu penyakit berjangkit tidak berhenti di sini dan akan ada lagi kes-kes baharu pada masa depan.
“Buat masa ini kita masih memperhalusi kertas cadangan mengenai penubuhan pusat itu termasuk soal bajet untuk menjalankan kajian kelak,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Minum Petang Sahabat Media Unisza 2020 di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Hassan Basri berkata, universiti itu berjaya menghasilkan sebanyak tujuh artikel mengenai simptom dan trend Covid-19 menerusi Aplikasi Penilaian Risiko dan Pengawasan Kesihatan Kendiri (CHaSe) yang diperkenalkan baru-baru ini.
Katanya, penghasilan artikel tersebut diharap dapat dimanfaatkan pasukan perubatan di samping meningkatkan pengetahuan masyarakat untuk bersama-sama mencegah pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE