Sultan Kedah khuatir jumlah jangkitan Covid-19 - Utusan Malaysia

Sultan Kedah khuatir jumlah jangkitan Covid-19

AL AMINUL KARIM SULTAN SALLEHUDDIN SULTAN BADLISHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menzahirkan rasa khuatir dengan jumlah jangkitan Covid-19 yang kian meningkat meskipun pelbagai usaha dijalankan bagi mengatasinya.

Justeru, baginda mengingatkan rakyat supaya sentiasa menjaga disiplin diri, keluarga dan  insan tersayang dalam mematuhi norma-norma baharu di musim perayaan.  

Titah baginda, seluruh rakyat perlu sedar hakikat betapa semua pihak belum menang dalam mengatasi pandemik Covid-19.

“Oleh itu, beta menyeru supaya kita menghadapinya dengan penuh tabah, berhati-hati serta sentiasa menjaga diri dan keluarga selain keadaan sekeliling.

“Sentiasalah mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP)  yang  ditetapkan pihak berkuasa,” titah baginda sempena sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2021 di sini, hari ini.

Sultan Sallehuddin dalam pada itu tetap menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang setiap hari bertungkus-lumus menjaga kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat.

“Jangan kita lupakan jasa dan pengorbanan mereka yang tidak putus-putus berjuang untuk mengurangkan penyebaran Covid-19.

“Patuhi segara arahan diberikan dan jangan lakukan pergerakan yang tidak perlu. Kita jaga kita,” titah baginda.

Sultan Sallehuddin menambah, baginda bersama Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Almarhum Tengku Ariff serta seluruh kerabat Diraja Negeri Kedah sentiasa berdoa agar semua pihak berjaya dalam perjuangan menentang Covid-19 ini.

“Beta juga berdoa agar dugaan diberikan Allah ini akan berakhir supaya beta bersama Sultanah Kedah dapat kembali bersama rakyat Kedah yang beta rindui dan kasihi,” titah baginda. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya