Orang ramai tidak lagi peduli risiko jangkitan Covid-19? - Utusan Malaysia

Orang ramai tidak lagi peduli risiko jangkitan Covid-19?

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Orang ramai seolah-olah tidak lagi peduli risiko jangkitan Covid-19 kerana tangkapan melibatkan kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) masih berterusan berlaku.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi tempoh semalam sahaja, sebanyak 241 individu ditahan atas pelbagai kesalahan itu dengan 202 daripadanya dikompaun manakala 39 lagi direman.

Menurut beliau, antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (78), tidak memakai pelitup muka (77), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (43), aktiviti pusat hiburan (41) dan lain-lain kesalahan (dua).

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 50,258 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP melibatkan 2,837 Pasukan Pematuhan dengan kekuatan 12,888 anggota.

“Mereka melakukan pemantauan di 3,566 pasar raya, 4,996 restoran serta 1,860 penjaja, 1,179 kilang, 3,557 bank dan 630 pejabat kerajaan termasuk 1,083 terminal pengangkutan darat, 290 terminal pengangkutan air serta 101 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, Operasi Benteng berjaya menahan 51 pendatang asing tanpa izin (PATI), seorang tekong serta merampas enam kenderaan darat dan dua bot selain melakukan 125 sekatan jalan raya.

Beliau menegaskan, mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram akan dikenakan tindakan dan agensi-agensi penguat kuasa terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

Mengenai kuarantin wajib, kata beliau, sejak 24 Julai lalu, seramai 86,398 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua ditempatkan di 78 hotel dan 19 premis lain.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 12,827 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 543 individu dihantar ke hospital untuk rawatan selain 73,028 lagi dibenarkan pulang.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 13,901 pemeriksaan dilakukan anggota penguat kuasa Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) melibatkan 7,965 tapak binaan di seluruh negara sejak 20 April lalu sehingga semalam.
“Semalam sahaja, anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan di 11 tapak binaan di seluruh negara dan kesemua tapak binaan yang diperiksa mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna juga katanya membuat pemantauan harian ke atas 11 jenis bekalan barangan di 689 premis perniagaan termasuk peruncit (518), pemborong (143) dan pengilang (28).

Katanya, secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan negara berterusan dan mudah diperoleh.

“Pegawai penguat kuasa kementerian juga melakukan 525 pemeriksaan khas Pematuhan SOP dan kesemua premis yang diperiksa mematuhinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya