KOTA BHARU: Madrasah Daril Naim (MDN) di Melor, di sini yang menjadi punca Kluster Halban mula dikawal ketat oleh pasukan keselamatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) berkuat kuasa semalam.
Timbalan Ketua Polis Kelantan Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, sejak PKPD bermula, pihaknya bertindak menutup setiap laluan keluar masuk ke MDN.
“Kawalan 24 jam ini melibatkan sembilan anggota polis yang akan bertugas bergilir-bergilir sepanjang tempoh PKPD
“Kita sudah menutup dua laluan ke madrasah tersebut bagi memastikan tiada pergerakan keluar masuk penghuni di situ,” katanya ketika melakukan tinjauan di MDN, di sini hari ini.
PKPD terhadap MDN dikuatkuasakan berikutan 47 individu daripada 161 warga madrasah dikuarantin di tiga hospital di negeri ini akibat Covid-19.
Kesemua 47 individu itu dikuarantin selama 14 hari di Hospital Raja Perempuan Zainab II ( HRPZ II), Hospital Tumpat ( HT) dan Hospital Sultan Yahya Petra di Kuala Krai, sejak semalam.
Ketika ditanya sama ada kawalan itu untuk tempoh dua minggu, Abdullah berkata tempoh PKPD berakhir hanya akan diputuskan oleh Kementerian Kesihatan.
Menurut beliau, buat masa ini pemasangan dawai berduri belum dilakukan dan ia bergantung kepada situasi di kawasan tersebut.
“Kita sudah maklumkan kepada Angkatan Tentera Malaysia ( ATM) berhubung perkara itu,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Pondok MDN, Mohamad Azizi Che Man berkata, selepas penularan wabak Covid-19 dikesan, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal sejak 21 Disember lalu.
“Secara keseluruhan mereka yang tinggal di MDN ini seramai 212 orang dengan paling muda berusia 12 tahun manakala paling tua antara 50 hingga 60 tahun. MDN ini beroperasi sejak 1993.
“Kita harap kes Covid-19 dapat diangkat segera oleh Allah SWT,” katanya.- UTUSAN ONLINE