Kluster Hilir: HUSM beroperasi seperti biasa - Utusan Malaysia

Kluster Hilir: HUSM beroperasi seperti biasa

BILANGAN pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian, dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memberi masa untuk warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko menjalani saringan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tiada unit atau perkhidmatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) ditutup susulan penularan Covid-19 Kluster Hilir yang dikatakan turut membabitkan petugas hospital tersebut. 

Pengarah HUSM, Datuk Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, hasil tindakan pengawalan yang efektif sejak tiga hari yang lalu, tiada lagi kes-kes positif Covid-19 yang baharu dikesan di HUSM sehingga semalam.

“HUSM kini beroperasi seperti biasa mulai semalam dengan semua perkhidmatan rawatan ditawarkan pihak hospital berjalan seperti sedia ada. 

“Sebagai antara langkah kawalan seterusnya, HUSM proaktif menjalankan sanitasi sekitar premis secara kerap dan menggiatkan kempen amalan norma baharu kepada warga kerja serta pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, tular khabar angin mendakwa dua unit di HUSM iaitu Dewan Bersalin Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dan Unit Bedah Dependensi Tinggi (SHDU) ditutup ekoran penularan wabak Covid-19 membabitkan Kluster Hilir.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukari berkata, bilangan pesakit termasuk perkhidmatan dewan bedah serta bilik bersalin dikurangkan sebagai langkah berjaga-jaga dan bagi memberi masa untuk warga kerja, pesakit dan semua yang berisiko menjalani saringan.

Katanya, pengurangan bilangan pesakit pada bulan November adalah rutin setiap tahun kerana peperiksaan sarjana perubatan dilaksanakan dalam tempoh berkenaan berdasarkan jadual akademik.

“Pengurangan pesakit juga diputuskan setelah mengambil kira situasi semasa jangkitan Covid-19 termasuk kluster-kluster sekitar Kelantan yang menunjukkan peningkatan,” katanya.

Tambah beliau, aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga kerja serta pelanggan-pelanggan HUSM termasuk pesakit serta waris sentiasa menjadi keutamaan pihak pengurusan.

“Sehubungan itu, pengurusan telah melaksanakan tindakan-tindakan segera bagi mengawal jangkitan dan dalam masa yang sama berusaha untuk memastikan perkhidmatan rawatan tidak terjejas,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya