JOHOR BAHRU: Pejabat Puspakom Johor Bahru di sini ditutup sementara bermula hari ini selepas seorang petugasnya disahkan positif Covid-19.
Puspakom dalam satu kenyataan memaklumkan, petugas berkenaan sedang menjalani rawatan lanjut dan dikuarantin di sebuah hospital kerajaan.
“Proses mengesan kontak rapat pesakit juga dilakukan manakala semua petugas lain di cawangan berkenaan akan menjalani ujian saringan.
“Individu yang dikenal pasti mempunyai hubungan secara langsung dengan pesakit juga diarah menjalani kuarantin 14 hari,” jelas kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penutupan operasi cawangan itu turut melibatkan Perkhidmatan Van dan Trak Bergerak bagi membolehkan proses sanitasi dan pembersihan dilaksanakan secara menyeluruh.
Susulan penutupan itu, pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara walk-in di cawangan Puspakom lain di negeri ini sebagai langkah alternatif.
“Pemeriksaan kenderaan persendirian boleh dilakukan di Puspakom Senai dan Puspakom Taman Daya, manakala bagi kenderaan ringan boleh dibuat di Puspakom Senai serta Kluang.
“Sementara itu, bagi pemeriksaan kenderaan berat boleh dibuat di Puspakom Pasir Gudang dan Kluang,” tambah kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE