KUALA LUMPUR : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan sambutan Hari Sukan Negara 2020 (HSN 2020) yang sepatutnya berlangsung pada 10 Oktober di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dibatalkan terus susulan peningkatan mendadak kes pandemik Covid-19 ketika ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran peningkatan mendadak kes pandemik Covid-19 ketika ini.
“KBS mengambil keputusan untuk membatalkan sambutan HSN 2020. Ini adalah selaras dengan kenyataan berkenaan penangguhan sambutan tersebut dengan mengambil kira situasi peningkatan jumlah kes Covid-19 pada awal bulan Oktober lalu.
“Keputusan untuk membatalkan HSN 2020 dibuat sebagai langkah berjaga-jaga KBS untuk mengelakkan risiko penyebaran Covid-19 dalam kalangan masyarakat dan demi memelihara kesejahteraan dan keselamatan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Reezal mengingatkan agar semua penggiat sentiasa menjaga diri, kekal sihat dan aktif mengikut garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), KBS dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebagai rekod, kerajaan telah mengarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) berkuat kuasa sehingga 6 Disember depan di seluruh semenanjung Malaysia kecuali negeri Perlis, Kelantan dan Pahang.