KUALA LUMPUR : Semua kakitangan Parlimen disahkan negatif dan bebas daripada jangkitan Covid-19.
Ketua Pentadbir Parlimen, Datuk Kamis Samin dalam satu kenyataan berkata, ujian saringan dibuat membabitkan semua pegawai dan kakitangan Parlimen termasuk Polis Bantuan yang bertugas di Parlimen.
Katanya, perkara itu disahkan melalui ujian saringan yang dibuat kakitangan Parlimen dengan dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 28 dan 30 Oktober lalu.
“Bagaimanapun, hasil ujian saringan itu turut membabitkan media rasmi dan ahli Parlimen. Ada dua kes positif yang membabitkan petugas media dan seorang pegawai kepada Ahli Dewan Negara.
“Kedua-dua kes itu sudah diambil tindakan lanjut oleh KKM sejurus selepas keputusan ujian saringan diperoleh,” katanya. – UTUSAN